Soi Lek hiris hati Melayu

Oleh JAAFAR AHMAD

BATU PAHAT 30 Nov. – Pucuk pimpinan Barisan Nasinal (BN) diminta bertindak tegas terhadap Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berhubung kenyataannya menolak konsep ketuanan Melayu.

Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, ini kerana kenyataan tersebut telah menghiris hati masyarakat Melayu terutama ahli UMNO yang selama ini menjadi rakan baik MCA.

Menurutnya, walaupun kenyataan itu merupakan pandangan peribadi Soi Lek, namun ia lahir daripada seorang pemimpin yang sepatutnya menjadi sahabat dalam komponen BN.

‘‘Kenyataan ini sangat menyinggung dan menghiris hati masyarakat Melayu,” katanya selepas merasmikan Sambutan Kesenian Islam Kemas Peringkat Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek baru-baru ini bahawa konsep ketuanan Melayu di negara ini tidak lagi relevan dan ditolak rakyat pelbagai kaum.

Mohamad berkata, Soi Lek tidak seharusnya membuat kenyataan tersebut kerana ketuanan Melayu tidak bermaksud menghambakan orang bukan Melayu di negara ini.

“Ia sebenarnya bermaksud negara ini bertuankan Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak dahulu lagi,” katanya.

Menurutnya, walaupun negara ini dipertuankan oleh Melayu, namun masyarakat Melayu tidak pernah memusuhi malah sentiasa bertolak-ansur dengan kaum lain.

‘‘Sebagai rakan, pemimpin MCA sepatutnya menjaga sensitiviti orang Melayu tetapi apa yang berlaku mereka bersikap lebih daripada parti DAP,” katanya.

Beliau berkata, MCA perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan itu dan seterusnya mengambil tindakan terhadap Soi Lek.

Menurutnya, kenyataan tersebut sangat perkauman dan boleh merosakkan perpaduan.


-sumber utusan Malaysia 1 Disember 2008-

2 maklumbalas:

oneworld citizen said...

tidak juga boleh ditepikan pandangan ini dengan aalasan..'sensitif'..

Gerrard said...

"Berfikir sebelum berkata-kata... kerna kata mampu membinasakan sesebuah negara"